
Berjalan kaki sesuai untuk semua trimester kehamilan, namun AWAS!
Sumber: Puan Noor Hidayu Abdullah
Umum mengetahui, aktiviti berjalan kaki adalah sesuatu senaman paling mudah untuk dilakukan tanpa mengira latarbelakang seseorang. Begitu juga kepada ibu-ibu hamil di luar sana. Kekal sihat dan cergas dengan aktiviti berjalan kaki selama 30 minit untuk sehari ternyata memberikan seribu satu manfaat!​​
​
Jika disebut sahaja senaman sepanjang kehamilan, pasti terdapat yang melahirkan kerisauan bahawa ibu hamil ini susah untuk melakukan aktiviti kecergasan seperti kebanyakan orang di luar sana. Iyalah, setiap kali hendak melakukan aktiviti seperti berenang, badminton dan berjoging pasti sahaja akan terbayangkan mimpi ngeri iaitu keguguran.
​
Benar, SiHAT tidak nafikan bahawa senaman dengan kadar pergerakan yang diluar kemampuan terutamanya sepanjang tempoh kehamilan mendatangkan risiko kepada kandungan tetapi tidak kepada berjalan kaki. Senaman ini dapat mengekalkan kecergasan tanpa menyeksakan lutut dan buku lali anda.
​
Bagi yang biasa kekal aktif sebelum kehamilan, ia adalah mudah dijalankan kerana anda mempunyai asas. Sebaliknya, jika anda agak kurang aktif, SiHAT kongsikan kepada anda beberapa tips dan langkah yang diamalkan oleh salah seorang pengikut mengenai aktiviti ini sepanjang tempoh kehamilannya.
​
Sebagai langkah permulaan, ibu hamil boleh mulakan dengan berjalan perlahan dan meningkatkan kelajuan sedikit demi sedikit sehingga ke tahap berjalan laju (brisk walk) selama 20 hingga 30 minit sehari. Anda tidak memerlukan masa yang agak lama kerana berjalan terlalu lama akan memudaratkan kesihatan anda.
Trimester pertama
Pada tempoh awal kehamilan, anda tidak perlu berjalan terlalu jauh dari kebiasaannya dan pastikan memakai kasut yang bersesuai. Jangan keluar berjalan semasa cuaca terlalu panas dan lembap. Cuaca seperti ini membuatkan anda lebih berkemungkinan menjadi terlalu panas. Walaupun tiada bukti yang menunjukkan kepanasan terlampau boleh membahayakan manusia, kajian yang dilakukan terhadap haiwan menunjukkan bahawa ia boleh menyebabkan kecacatan kepada bayi dalam kandungan.
​
Trimester Kedua
​
Memasuki fasa kedua kehamilan, emosi bakal ibu mungkin kurang stabil. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk memberikan sepenuh perhatian akan postur badan semasa berjalan untuk mengelakkan daripada memberi tekanan kepada belakang anda. Tegakkan kepala, sekatakan dagu, tegakkan bahu untuk mengelak daripada membongkok, dan mata mengawasi apa yang ada di hadapan anda. Hayunkan tangan untuk keseimbangan dan untuk meningkatkan manfaat senaman. Itu adalah teknik yang betul perlu diamalkan.
Trimester ketiga
Teruskan apa yang anda telah lakukan seberapa lama yang boleh. Namun, memandangkan anda tidak dapat melihat tapak kaki akibat terlindung dengan perut, anda mungkin perlu mengelak daripada berjalan di kawasan yang tidak rata yang boleh menyebabkan anda hilang keseimbangan.

Penulis:
Farah Nadia
