
Keguguran bukan musibah wanita
Sumber: Prof Dr. Nik Hazlina Nik Hussain, Pensyarah Obstetrik dan Ginekologi
Setiap orang yang melangkah masuk ke dunia perkahwinan semestinya mengimpikan zuriat sebagai penyeri kehidupan. Ia seakan tidak lengkap jika tiada kehadiran orang baru. Zuriat diperkatakan pengikat utama kasih sayang dalam setiap pasangan suami isteri. Namun, tidak semua pasangan bernasib baik dalam mendapatkan anugerah terindah itu dalam kehidupan rumahtangga mereka.
​​​
Kegagalan mendapatkan zuriat ini bukanlah bererti tidak boleh mengandung atau sinonim dengan mandul. Namun, ia disebabkan oleh keguguran. Stigma masyarakat di Malaysia terhadap permasalahan keguguran perlu diubah kerana ia bukanlah permainan dalam perbualan harian.
​
Menurut pensyarah Obstetrik dan Ginektologi, Universiti Sains Malaysia, Professor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain, keguguran ini mempunyai dua kategori yang umum perlu ketahui dan diberi perhatian oleh semua masyarakat. Ia bukanlah sebagai hukuman dan tohmahan kepada sesetengah individu yang gagal dalam separuh perjalanan proses kehamilan mereka. Ini perlu diambil serius kerana ia melibatkan pengetahuan masalah kesihatan wanita dan ia boleh berlaku diluar kawalan.
​
Keguguran pada awal kehamilan
​
Sebenarnya, lebih kurang 20 hingga 30 peratus wanita yang hamil kebiasaannya akan mengalami pendarahan ringan pada peringkat awal kehamilan. Pendarahan ringan dari faraj ini juga dikenali sebagai spotting. Ianya menyerupai haid, tetapi pendarahannya adalah lebih ringan dan sedikit. Warna darahnya pula berbeza, dari merah hingga ke coklat. Sebenarnya, pendarahan yang berlaku dalam minggu-minggu awal kehamilan biasa berlaku. Namun begitu, kadangkala pendarahan ini juga boleh menjadi tanda bagi keadaan yang lebih serius seperti keguguran. Oleh itu, adalah lebih baik bagi wanita tersebut mendapatkan pemeriksaan doktor jika mengalami pendarahan pada peringkat awal kehamilan.
​
Dalam fasa awal kehamilan, pendarahan ringan biasanya tidak membahayakan. Ia biasanya berlaku sekitar waktu seseorang wanita biasanya datang haid dan berlangsung selama satu atau dua hari. Sesetengah dari mereka mungkin hanya menyedarinya ketika membuang air kecil.
PUNCA PERTUMPAHAN DARAH
​
Punca berlakunya pertumpahan darah ini tidak diketahui dengan jelas oleh doktor. Namun begitu, ia mungkin disebabkan oleh hormon yang mengawal kitaran haid sehingga mencetuskan pendarahan apabila sampai waktu wanita tersebut sepatutnya datang haid. Ini dipanggil pendarahan "penembusan" (breakthrough). Wanita tersebut mungkin mengalaminya lebih daripada sekali. Ada juga doktor menjangkakan, masalah tersebut mungkin disebabkan oleh pelekatan telur yang telah disenyawakan pada lapisan rahim yang menyebabkan pendarahan. Masalah sebegini dikenali sebagai pendarahan implantasi dan lebih jarang berlaku berbanding pendarahan penebusan.
​
Selain itu, ia turut disebabkan oleh serviks (pangkal rahim) yang terengsa. Ini kerana hormon kehamilan boleh mengubah permukaan serviks membuatkan ia cenderung untuk berdarah sedikit, biasanya selepas hubungan seks. Punca lain yang boleh menyebabkan pendarahan adalah ketumbuhan fibroid pada dinding rahim, ketumbuhan seperti polip pada serviks (pangkal rahim) dan jangkitan kuman pada serviks. Pendarahan ini juga boleh disebabkan oleh penyakit keturunan seperti penyakit Von Willebrand yang membuatkan darah sukar membeku.
​
FAKTOR DORONGAN KEGUGURAN AWAL KEHAMILAN
​
Pendarahan pada awal kehamilan mungkin merupakan tanda keguguran atau kehamilan ektopik (kehamilan di luar rahim). Dalam kedua-dua kes ini, wanita juga biasanya akan mengalami sakit perut dan kekejangan. Keguguran pada awal kehamilan biasanya berlaku apabila bayi tidak berkembang dengan betul. Pendarahan daripada keguguran beransur-ansur menjadi banyak. Keguguran awal memang menyedihkan, tetapi malangnya, ia berlaku dalam kalangan 15 hingga 20 peratus wanita hamil. Malah, sesetengah wanita mengalami keguguran sebelum mereka tahu bahawa mereka hamil dan menganggap mereka hanya datang haid. Ini merupakan salah satu faktor yang berlaku diluar pengetahuan wanita di luar sana.
​
Tambah Prof. Dr. Nik Hazlina yang pernah menjalani latihan di Melbourne, Australia dalam (IVF),jika dilihat kepada kes seseorang yang mengalami kehamilan ektopik , ia adalah berlainan. Kehamilan ini berlaku apabila telur yang disenyawakan melekat pada bahagian luar rahim. Tanda-tanda awal mengandung luar rahim hampir sama dengan haid atau keguguran seperti senggugut dengan kehadiran sedikit darah. Kerap kali kehamilan luar rahim hanya akan dikesan ketika salur Fallopio sudah pecah dan pesakit mengalami pendarahan dalaman. Ini mengakibatkan kesakitan teruk pada bahagian pelvik, tekanan darah menurun dan jika tidak dirawat cepat, boleh membawa maut.
​
Punca pendarahan yang lebih jarang berlaku ialah kehamilan molar atau anggur. Kehamilan ini dikatakan sebagai “anggur” kerana tiada janin di dalam kandungan tersebut. Ini bermakna, kehamilan yang tidak menjadi di mana uri dan janin tidak membentuk dengan betul dan bayi tidak berkembang, sebaliknya menjadi tisu-tisu berupa anggur. Apabila dilihat melalui imbasan ultrabunyi, hanya kelihatan buih-buih sahaja. Para bakal ibu diluar sana, khususnya pembaca SiHAT perlu mengambil serius akan kejadian ini. Buih-buih tersebut sebenarnya hanya mengandungi air. Kadangkala ia juga dinamakan sebagai vesikel. Kehamilan anggur boleh menjejaskan kesihatan wanita dan mempunyai implikasi jangkamasa panjang yang serius jika tidak mendapat rawatan segera dan pemantauan yang berkala.
​
Bagaimana hendak mengetahui jika anda benar-benar mengalami pendarahan yang menandakan anda keguguran? Khusus untuk bakal ibu, kekejangan akan berlaku pada bahagian ari-ari dan pendarahan itu biasanya akan menjadi lebih teruk. Pendarahan ringan atau spotting biasanya berhenti sendiri.
​
“Dianggarkan kira-kira separuh daripada wanita hamil yang mendapatkan bantuan perubatan kerana pendarahan awal dapat meneruskan kehamilan mereka. Jika anda mengalami spotting atau pendarahan semasa hamil, bincanglah dengan doktor, walaupun jika pendarahan itu berhenti. Ini untuk memastikan tiada simptom-simptom lain yang mungkin menunjukkan sebarang masalah,” pesannya kepada pembaca SiHAT.
​
GUGUR KEMALANGAN JIWA SERIUS WANITA
​
Majoriti keguguran yang berlaku pada tiga bulan pertama kehamilan iaitu kurang dari 12 minggu adalah disebabkan masalah genetik. Bermaksud ketika persenyawaan ataupun fetus membesar, berlakunya mutasi ataupun kerosakan pada genetik menyebabkan bayi tidak sesuai untuk hidup. Disebabkan masalah genetik tersebut badan sendiri akan menggugurkan bayi tersebut.
​
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor atau punca yang disabitkan dengan keguguran berulang, faktor utama adalah kerana kebanyakan keguguran dikaitkan dengan masalah dengan janin itu sendiri yang mempunyai masalah genetik atau kromosom yang mengakibatkan janin tersebut tidak dapat membesar dengan baik. Janin memerlukan kromosom yang sihat dan tersusun dengan sempurna. Walau bagaimanapun, mungkin timbul keadaan di mana kromosom tersebut tertinggal atau tersalah kedudukannya semasa pembentukan janin sebaik sahaja selepas persenyawaan. Hasilnya, janin itu akan mati sejak dari awal lagi.
​
Ianya juga mungkin berpunca dari penyakit dalam rahim yang sering dikaitkan seperti endometriosis dan fibroid yang boleh menyebabkan keguguran berulang. Wanita yang mengalami penyakit endometriosis dan fibroid ini kadang-kadang mengalami keguguran biarpun usia kandungan sudah mencecah antara 4 hingga 5 bulan.
​
Jangkitan kuman pada darah wanita yang mengandung adalah salah satu penyebab keguguran berulang. Wanita yang mengandung kadang-kadang tidak menunjukkan sebarang tanda penyakit atau kesakitan, malangnya mereka mengalami keguguran. Diagnosa dibuat dari darahnya yang diperiksa, didapati ianya dijangkiti kuman. Kuman pada darah itulah yang merosakkan kandungan. Antaranya seperti kesan beberapa jenis virus, iaitu cytomegalo virus (CMV), herpes simplex (HSV) dan juga rubella. Begitu juga dengan sejenis parasit toksoplasmosis yang ada pada badan kucing boleh menyebabkan keguguran. Oleh itu bagi wanita yang sering mengalami keguguran dan memelihara kucing, perlulah sentiasa berhati-hati. Biarpun kucing peliharaan itu dijaga dengan baik dan bersih, tetapi parasit itu tetap ada pada bulu-bulu kucing dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Penyebab lain keguguran berulang adalah disebabkan penyakit lain seperti artritis rheumatoid dan juga sindrom anti-phosphoslipid.

Penulis:
Farah Nadia