
OKU bukan penghalang untuk amalkan gaya hidup sihat!
Sumber: Muhamad Azan Mat Hussin
Pernah diperli dan disisihkan oleh masyarakat sekeliling kerana diri seorang OKU, namun itu tidak mematahkan semangat Muhamad Azan Mat Hussin untuk kekal sihat dan cergas sehinggakan beliau membuktikan kebolehan dirinya dengan dapat menjadi atlet Paralimpik dan menjadi wakil Malaysia dalam permainan bola sepak orang buta.
Baginya, kesihatan adalah sesuatu yang penting kerana apabila badan sihat beliau akan dapat memberi lebih fokus dalam pertandingan yang disertainya.
“Untuk mengamalkan gaya hidup sihat, perkara paling penting adalah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan diikuti dengan senaman. Saya akan melakukan aktiviti seperti berjoging dengan rakan-rakannya, melakukan aktiviti di gim, home workout dan banyak lagi.
“Kebanyakan orang dalam kalangan masyarakat biasanya akan berjumpa dengan doktor hanya bila sudah sakit sahaja. Tetapi mereka lupa bahawa gaya hidup yang sihat itu memerlukan seseorang membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala. Oleh itu, saya akan melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital dengan kekerapan masa sebanyak dua kali setahun ataupun bergantung kepada keinginannya. Dengan mengetahui tahap kesihatan, saya boleh mengambil langkah tertetu bagi memastikan kesihatan saya sentiasa berada dalam keadaan baik”, ujar Azan.

Penulis:
Nur Fadhilah Mohamad Sukri

