top of page

Versi yang lebih baik 

Sumber: Sanglisha Kunasekaran, pelajar Dwi Ijazah Universiti Sains Malaysia

DSC_0131.JPG

​Sejak kecil lagi, ibu bapa saya sering menekankan kepentingan memberi tumpuan dalam pelajaran. Tentunya kepintaran telah membantu saya untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan untuk memegang jawatan berprestij seperti menjadi Yang Di Pertua Persatuan Komunikasi dan ahli Dewan Perundingan Pelajar, Mahasiswa Parlimen di Universiti Sains Malaysia (USM). Namun, pada satu ketika, saya menyedari betapa pentingnya kekuatan dan kecergasan fizikal, terutamanya selepas kecederaan saya.

 

Pada 15 Julai 2018, saya telah mengalami kecederaan lutut. Sepanjang proses pemulihan, saya hanya tidur, makan dan pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan fisioterapi. Ini telah menyebabkan berat badan saya bertambah sehingga 64kg. Penambahan berat badan telah mengurangkan keyakinan diri dan ia membuat saya sedar betapa pentingnya meningkatkan kekuatan badan. Saya berasa kecil hati kerana saya kelihatan gemuk pada masa itu. Saya bertekad untuk membuat perubahan dan menambahkan keyakinan saya seperti sediakala kerana saya ingin menjadi lebih langsing.

 

Akibatnya, saya membuat perubahan dalam hidup saya. Saya masih ingat bahawa saya bangun seawal jam 5 pagi untuk berjoging di sekitar Bukit RST USM (Restu, Saujana, Tekun). Setiap hari saya memastikan untuk mencapai sasaran berjalan 10,000 jejak langkah. Saya juga mengurangkan makanan berlemak terutamanya roti canai. Kemudian, saya mula menggunakan produk pelangsingan badan yang akhirnya membuatkan saya mengalami dehidrasi. Prosesnya sangat perlahan, tetapi saya masih tidak berputus asa. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan akibat wabak COVID-19, saya dapat menurunkan berat badan kerana saya dapat makan masakan ibu saya yang berkhasiat di rumah. Kemudian, saya mula mengambil produk pembakar lemak dari Elken kerana saya bimbang jika berat badan saya bertambah sebab tidak dapat meneruskan rutin berjogging seperti biasa.

 

Setelah PKP berakhir, saya menemui ‘vision board’ yang saya buat pada tahun 2018. Salah satu keinginan saya adalah untuk mendapatkan badan yang ideal seperti seorang model. Semasa zaman remaja, saya dan adik saya akan menonton episod Miss Universe Malaysia di televisyen dan ia merupakan impian remaja saya untuk menyertai pertandingan tersebut. Oleh kerana semasa PKP, saya telah menghadapi tekanan yang sangat tinggi ketika mengendalikan program dwi-ijazah saya dalam bidang Komunikasi dan Sains Politik akibat pembelajaran atas talian, adik saya menasihati untuk pergi ke gimnasium. Dia aktif pergi ke gimnasium di universiti sejak dia mula pelajarannya dan dia secara peribadi merasakan bahawa bersenam di gim juga membantunya untuk mencapai prestasi yang lebih baik dalam pelajarannya bak kata pepatah, "badan cergas, otak cerdas".

 

Semasa saya meninjau gimnasium di sekitar bandar Subang Jaya, rakan sekolah menengah saya mengajak saya untuk menyertai Chi Fitness. Pada awalnya, saya bersenam di gim bersama kawan-kawan yang lain. Kemudiannya, saya mula mengambil latihan peribadi dan pada masa itu saya dapat berjumpa dengan pelatih peribadi saya, Ershyad Khan. Dia seperti kawan baik yang telah memotivasi saya untuk menjadi versi yang lebih baik. Dia memberitahu, "Saya boleh jadi kawan yang selalu memberi semangat dan bukan hanya pelatih sahaja tetapi juga seorang pembakar semangat yang bagus”. Sejujurnya, kata-katanya itu adalah sangat bermakna bagi saya. Selain senaman harian saya di gim, Ershyad telah melatih saya tiga kali dalam seminggu, untuk memperbaiki diri saya secara fizikal. Hanya dalam masa tiga bulan, badan saya telah menjadi lebih langsing dan otot bertambah tegang.

 

Kesimpulannya, menyertai gim telah menjadikan saya lebih fokus dalam pelajaran dan berasa lebih yakin secara fizikal. Menulis artikel ini telah membuatkan saya untuk mengimbas kembali perjalanan yang saya telah lalui dan ini menyedarkan saya bahawa tidak kira apa jua halangan yang dihadapi, jangan lupa sebab memulakannya. 

photo_2020-11-10_08-51-03.jpg

Penulis:

Sanglisha Kunasekaran

WhatsApp Image 2020-11-15 at  10.46.22.j
DSC_0127.JPG

© 2020 SiHAT

bottom of page